Thursday, August 28, 2008

Ramadhan Pembersih Jiwa

Kini kita telah berada di penghujung Sya'aban, dan Ramadhan bakal menjenguk. Buat semua rakan-rakan, saya memohon ribuan kemaafan atas segala kekhilafan diri, baik sedar atau tidak dan marilah sama-sama kita berdoa moga bulan puasa kali ini adalah yang terbaik yang pernah kita tempuhi selama ini.



Ibadah puasa mempunyai hikmah dan rahsia tersendiri sama ada dari segi rohani, jasmani dan kemasyarakatan.Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan terhadap Allah semata-mata, akan dapat membentuk jiwa bersih. Mereka dapat menahan nafsu sama ada nafsu jantina, makan minum serta melawan diri daripada melakukan sifat tercela seperti mengumpat dan mengeluarkan kata-kata kotor dan lucah.

Begitu juga dari segi kesihatan. Inilah masanya tubuh kita berehat selepas sepanjang masa bekerja tanpa henti. Al-Tobrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Berperanglah kamu nescaya kamu akan mendapat rampasan perang, berpuasalah kamu nescaya kamu sihat dan musafirlah kamu nescaya kamu senang.”

Puasa juga mempunyai rahsia di sudut kemasyarakatan iaitu memupuk perasaan rahmat dan kasihan belas terhadap anak yatim dan fakir miskin.Perkara ini kerana orang yang kaya dapat merasakan lapar dan dahaga yang dihadapi fakir miskin.Tentulah orang yang beriman dan pengasih akan tersentuh perasaan untuk berkasih sayang dan menolong orang yang tidak berkemampuan.Oleh itu, jadikanlah Ramadan dan ibadat puasa yang kita kerjakan tahun ini sebagai madrasah yang dapat mendidik keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

No comments: